Pandangan saya tertarik kepada
seorang ibu yang juga sedang menikmati juadah tengahari di restoran tersebut.
Raut wajahnya nampak agak tertekan. Mungkin ibu ini letih
melayan karenah anak-anak yang ada bersamanya. Kesemuanya ada 3 orang. Suaminya tidak pula kelihatan, cuma mereka
anak beranak. Keadaan tenang si ibu mula terganggu apabila anak lelakinya yang dalam lingkungan 5 tahun mula bermain dengan
seliparnya. Dilambung-lambung sebelah seliparnya tinggi-tinggi dan dia nampak
seronok bermain seorang diri. Keadaan
itu kiranya mengundang rasa tidak senang si ibu lantaran bimbang selipar
anaknya itu akan terkena pelanggan lain.
Ibunya mula memberi renungan tajam kepada si anak
tetapi langsung tidak dipedulikan. Maka hilang lah kesabaran ibu ini. Saya
lihat si ibu bangun dan terus merentap tangan anaknya lalu diheretnya anak
kecil itu ke meja mereka. Si anak menjerit memberontak. Beberapa minit
kemudian si ibu dilihat meluru kebelakang kedai dan kembali dengan anak
tadi yang diheret dengan kasar ke meja sekali lagi. Kali ini si anak mula
meraung sekuat hati. Ini berterusan buat seketika.
Peristiwa ini sangat meruntun perasaan saya
kerana saya pernah mengalami kesukaran membesarkan anak. Anak saya yang pertama
dan yang kedua sewaktu kecil selalu mengamuk dan menangis berjam lamanya. Entah
berapa helai baju saya yang terkoyak akibat rentapan kuat mereka dan suami saya
sendiri pernah jatuh terlentang sewaktu cuba menenangkan anak yang sulung
akibat ditolak olehnya. Sofa di rumah rabak sana sini.. kerusi ,meja, mesin
basuh selalu berubah tempat akibat ditendang.. ini
semua penangan amukan mereka. Kami selalu berfikir dua tiga kali jika mahu ke
kedai kerana sudah begitu banyak insiden mengamuk mereka yang memalukan kami di
luar. Pendek kata saya membesarkan mereka berdua dengan airmata.. Ada ketikanya
saya mengganggap saya sudah gagal sebagai seorang ibu. Kalau di tempat kerja
saya sering termenung memikirkan cara untuk mengatasi masalah ini.
Tetapi apa yang pasti, saya tidak pernah
berputus asa dalam mendidik mereka. Saya berdoa setiap hari agar Allah swt
membantu saya mendidik anak-anak saya ini agar mereka menjadi insan-insan yang
solehah (anak-anak saya ini perempuan) Maka setiap hari saya bacakan yasin untuk
mereka dan saya kerapkan solat hajat dan
taubat. Begitu lah rutin saya di waktu itu. Memang benar.. Allah itu Maha
Pengasih dan Maha Mengasihani. Perubahan
yang ketara berlaku apabila mereka mula duduk di asrama. Semakin hari semakin
elok perilaku mereka. Pada hari ini saya adalah seorang ibu yang sangat gembira
kerana mempunyai anak-anak yang sangat baik hati dan menghormati saya dan
suami. Percaya atau tidak, yang sulung pernah mendapat anugerah “Sahsiah
terpuji” sewaktu dia di tingkatan lima dahulu! Alhamdulillah, kerana keputusan
SPM yang cemerlang, dia berjaya melanjutkan pelajarannya ke di luar negara di bawah tajaan JPA-MARA.
Yang kedua pula melanjutkan pelajarannya di sebuah kolej tajaan Mara.
Alhamdulillah, si adik pula selalu membanggakan kami dengan keputusan peperiksaan
yang sangat cemerlang beserta dianugerahkan sebagai pelajar terbaik untuk
beberapa subjek pada setiap semester dan kemudiannya melanjutkan pelajarannya ke luar negara di bawah tajaan MARA. Begitu lah kisah saya dan anak-anak.
Cuma sedikit nasihat dari saya,
banyak-banyakkan lah bersabar dalam membesarkan anak-anak walaupun mungkin ada
ketikanya kita berasa seperti sudah berputus asa. Mereka lah harta kita dunia
dan akhirat, amanah Allah swt yang tidak mungkin dapat ditukar ganti. Percaya
lah, berkat kesabaran dan doa ibu bapa, mereka akan menjadi anak-anak yang sangat
membanggakan kita satu hari nanti.