You might not see it now but it will become visible as you venture deeper into life..

You might not see it now but it will become visible as you venture deeper into life..

Tuesday, February 2, 2021

Seperti yang diceritakan.
    Entah kenapa, pandanganku tertumpu pada seorang wanita yang agak lanjut usianya. Ku kira dalam lewat 70 an. Dia berjalan perlahan-lahan sambil melihat-lihat ke kiri dan kanan di celah-celah orangramai. Aku bagai didesak untuk menegurnya lalu ku hampiri wanita ini lantas ku beri salam. Assalamualaikum makcik. Terkejut rupanya dia dengan salamku. Hampir sahaja dia terlanggar pintu sebuah kereta yang sedang terbuka. Berulang kali dia beristighfar dan berulang kali juga aku meminta maaf darinya.. ternyata wanita ini bukan jenis yang cepat melenting. Sambil mengurut dadanya dia tersenyum dan berkata, tak mengapa nak.. 
    Aku lantas memimpinnya ke sebuah bangku yang berhampiran. Kelihatan wanita ini agak lega dan terus dia bertanya padaku, Anak kenal makcik ke? Tidak makcik, jawabku.. Saya cuma ingin bertanya makcik hendak ke mana sorang-sorang di tengah bandar ni..Oo.. begitu.. ingatkan apa tadi..sambil matanya memandang ke arah orang ramai yang lalu lalang di hadapan kami. Tak de apa lah nak. Makcik nak beli mainan untuk cucu makcik. Dah lama makcik tak jumpa dia walaupun rumah dia tak jauh mana dari rumah makcik. Macam dari sini ke situ.. tangannya menunjuk ke arah sebuah gerai yang hanya beberapa meter sahaja jaraknya dari tempat kami duduk. Sibuk kut...aku cuba memberikan alasan. Sibuk apa kut nak, baru sekolah rendah.. mata makcik tadi sudah mulai berair...  entah lah.. dari lahir makcik jaga sampai masuk sekolah. Ada masanya makcik yang hantar ke sekolah dan sekolah kafa.. ari tu dia ada datang ke rumah makcik antar barang..tapi tak nak masuk.. dia jenguk2 dari pintu je..walhal rumah makcik tu la tempat dia bermain- main dulu..dan kali ini airmatanya mengalir laju..
    Aku terdiam dan pada waktu yang sama cuba menahan airmataku dari meleleh. Sambil mengesat airmatanya, wanita yang telah separuh abad ni menambah, bila dah beli mainan nanti, boleh lah makcik talipon dia.. bagitahu makcik belikan dia mainan. Mesti dia datang rumah makcik kan. Aku cuma mengganguk kerana aku sudah tidak mampu berkata apa-apa lagi kerana terlampau sebak. Dalam pada itu, terpacul di fikiranku tentang ibu bapa cucu wanita ini. Mengapa mereka membiarkan perkara ini berlaku ? Wanita ini seolah-olah boleh membaca fikiranku. Anak makcik, ibu cucu ni dah dua tahun meninggal dunia. Tak sampai 8 bulan selepas dia meninggal, suaminya pun kahwin lain. Seolah-olah... ayatnya tergantung di situ dan diganti oleh esakan tangisan yang hiba. Dia seolah-olah tidak peduli akan renungan orangramai yang lalu lalang. 
    Aku tidak mampu berbuat apa-apa melainkan terus menahan sebak. Sebaik sahaja perasaannya kembali tenang, wanita tersebut meminta diri. Aku cuma mengangguk lemah tanpa berkata apa-apa dan turut beredar. Setelah aku berada di dalam kereta, barulah kulepaskan sebak di dada. Dalam pada itu timbul rasa kesal kerana tidak menghulurkan apa-apa bantuan kepada wanita tersebut. Aku hanya membiarkan dia berlalu pergi begitu sahaja.Teruknya aku.. Moga Allah swt akan mengembalikan kasih sayang yang hilang itu kepada wanita tersebut. Aamiin...