You might not see it now but it will become visible as you venture deeper into life..

You might not see it now but it will become visible as you venture deeper into life..

Friday, April 2, 2021

Pandangan saya tertarik kepada seorang ibu yang juga sedang menikmati juadah tengahari di restoran tersebut. Raut wajahnya nampak agak tertekan.  Mungkin ibu ini letih melayan karenah anak-anak yang ada bersamanya. Kesemuanya ada 3 orang.  Suaminya tidak pula kelihatan, cuma mereka anak beranak.  Keadaan tenang si ibu  mula terganggu apabila anak lelakinya yang  dalam lingkungan 5 tahun mula bermain dengan seliparnya. Dilambung-lambung sebelah seliparnya tinggi-tinggi dan dia nampak seronok bermain seorang diri.  Keadaan itu kiranya mengundang rasa tidak senang si ibu lantaran bimbang selipar anaknya itu akan terkena pelanggan lain.
Ibunya  mula memberi renungan tajam kepada si anak tetapi langsung tidak dipedulikan. Maka hilang lah kesabaran ibu ini. Saya lihat si ibu bangun dan terus merentap tangan anaknya lalu diheretnya anak kecil itu ke meja mereka. Si anak menjerit memberontak.  Beberapa minit kemudian si  ibu dilihat meluru kebelakang kedai dan kembali dengan anak tadi yang diheret dengan kasar ke meja sekali lagi. Kali ini si anak mula meraung sekuat hati. Ini berterusan buat seketika.
Peristiwa ini sangat meruntun perasaan saya kerana saya pernah mengalami kesukaran membesarkan anak. Anak saya yang pertama dan yang kedua sewaktu kecil selalu mengamuk dan menangis berjam lamanya. Entah berapa helai baju saya yang terkoyak akibat rentapan kuat mereka dan suami saya sendiri pernah jatuh terlentang sewaktu cuba menenangkan anak yang sulung akibat ditolak olehnya. Sofa di rumah rabak sana sini.. kerusi ,meja, mesin basuh   selalu berubah tempat akibat ditendang.. ini semua penangan amukan mereka. Kami selalu berfikir dua tiga kali jika mahu ke kedai kerana sudah begitu banyak insiden mengamuk mereka yang memalukan kami di luar. Pendek kata saya membesarkan mereka berdua dengan airmata.. Ada ketikanya saya mengganggap saya sudah gagal sebagai seorang ibu. Kalau di tempat kerja saya sering termenung memikirkan cara untuk mengatasi masalah ini.
Tetapi apa yang pasti, saya tidak pernah berputus asa dalam mendidik mereka. Saya berdoa setiap hari agar Allah swt membantu saya mendidik anak-anak saya ini agar mereka menjadi insan-insan yang solehah (anak-anak  saya ini perempuan)  Maka setiap hari saya bacakan yasin untuk mereka  dan saya kerapkan solat hajat dan taubat. Begitu lah rutin saya di waktu itu. Memang benar.. Allah itu Maha Pengasih  dan Maha Mengasihani. Perubahan yang ketara berlaku apabila mereka mula duduk di asrama. Semakin hari semakin elok perilaku mereka. Pada hari ini saya adalah seorang ibu yang sangat gembira kerana mempunyai anak-anak yang sangat baik hati dan menghormati saya dan suami. Percaya atau tidak, yang sulung pernah mendapat anugerah “Sahsiah terpuji” sewaktu dia di tingkatan lima dahulu! Alhamdulillah, kerana keputusan SPM yang cemerlang, dia berjaya melanjutkan pelajarannya ke di luar negara di bawah tajaan JPA-MARA. Yang kedua pula melanjutkan pelajarannya di sebuah kolej tajaan Mara. Alhamdulillah, si adik pula selalu membanggakan kami dengan keputusan peperiksaan yang sangat cemerlang beserta dianugerahkan sebagai pelajar terbaik untuk beberapa subjek pada setiap semester dan kemudiannya  melanjutkan pelajarannya ke luar negara di bawah tajaan MARA.  Begitu lah kisah saya dan anak-anak.
Cuma sedikit nasihat dari saya, banyak-banyakkan lah bersabar dalam membesarkan anak-anak walaupun mungkin ada ketikanya kita berasa seperti sudah berputus asa. Mereka lah harta kita dunia dan akhirat, amanah Allah swt yang tidak mungkin dapat ditukar ganti. Percaya lah, berkat kesabaran dan doa ibu bapa, mereka akan menjadi anak-anak yang sangat membanggakan kita satu hari nanti.